Rabu, 11 Julai 2018 | 1:17pm
PENYANYI, Deja Moss (kiri) ketika ditemui di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Hulu Klang. - Foto Hafiz Sohaimi

Deja Moss, suami lantik jawatankuasa pendamai

HULU KLANG: Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, di sini, menetapkan 24 September depan untuk jawatankuasa pendamai (JKP) yang dilantik penyanyi, Deja Moss dan suaminya, Azfendy Azzuddin Ahmad, mengemukakan laporan berhubung kemelut rumah tangga mereka.

Hakim Syarie, Shaiful Azli Jamaludin, menetapkan tarikh itu selepas prosiding pelantikan wakil JKP oleh kedua-dua pihak, hari ini.

Deja Moss atau nama sebenar Sharifah Hadijah Wan Mos, 45, melantik rakan baiknya, Dr Azuraida Shahadan, bagi mewakili beliau, manakala Azfendy Azzuddin pula melantik abangnya.

Dalam proses perceraian, JKP terdiri daripada anggota keluarga rapat dengan satu pasangan terbabit, akan memberi nasihat dan mencari jalan penyelesaian.

Terdahulu, Azfendy Azzuddin yang diwakili peguam syarie, Ahmad Daud, mengemukakan bantahan pelantikan Dr Azuraida sebagai JKP atas alasan beliau bukan ahli keluarga tetapi hanya sahabat baik Deja Moss.

Beliau juga memberitahu mahkamah bahawa prosiding JKP tidak perlu, sebaliknya boleh terus memulakan proses hakam berikutan anak guamnya sudah lama tidak tinggal sebumbung.

Selain itu, katanya, talak adalah hak suami dan kuasa diberikan Allah SWT.

Hakam adalah wakil kepada suami dan isteri yang dilantik selepas JKP gagal menyelesaikan kemelut rumah tangga satu pasangan terbabit.

Bagaimanapun, hakam diberi kuasa penuh membuat keputusan sama ada untuk melafazkan talak atau menerima tebus talak jika ia wakil kepada suami, manakala wakil bagi isteri berkuasa menerima talak dan membayar tebus talak.

Sementara itu, peguam syarie Halimatunsa'diah Abu Ahmad yang mewakili Deja Moss pula berhujah bahawa talak memang hak suami tetapi ia datang bersama tanggungjawab berat.

"Deja Moss ada hak untuk mengetahui apa yang berlaku. Plaintif sendiri yang keluar dari rumah.

"Walaupun JKP yang dilantik hanya kawan, beliau mengetahui apa sebenarnya berlaku dalam kemelut rumah tangga anak guam saya," katanya.

Azfendy Azzuddin memfailkan permohonan cerai secara baik pada 5 Mac lalu mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

Laporan media sebelum ini memetik Deja Moss sebagai berkata suaminya keluar rumah pada 27 September tahun lalu dan mereka tidak lagi berhubung sejak itu.

Pasangan itu berkahwin pada 30 Ogos 2008 dan tidak dikurniakan anak.

Berita Harian X