Rabu, 11 Julai 2018 | 9:46am

Langgar kenderaan lain akibat tekanan darah rendah

PETALING JAYA: Seorang lelaki warga emas yang mengalami tekanan darah rendah ketika memandu, melanggar kenderaan lain di Lebuhraya Persekutuan menghala ke Klang, berhampiran Bangunan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 2.15 petang itu, Ti Teow Yong, 79, yang memandu kenderaan Honda CRV melanggar bahagian belakang sebuah Mitsubishi Triton dipandu lelaki berusia 41 tahun.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari'at, berkata seorang anggota polis trafik daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya Penguatkuasaan Trafik Petaling Jaya yang berada di lokasi kejadian, menahan lelaki warga emas itu dan membawa keretanya ke balai polis.

"Hasil siasatan mendapati lelaki warga emas itu dalam keadaan tidak sihat akibat tekanan darah rendah.

"Anaknya datang ke balai selepas dihubungi dan terus membawanya ke Tropicana Medical Center bagi pemeriksaan sebelum lelaki terbabit dimasukkan ke dalam wad untuk rawatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Azman berkata, kes itu turut tular di Facebook apabila seorang penunggang motosikal merakam lelaki warga emas terbabit memandu dalam keadaan berbahaya.

"Kes disiasat mengikut Peraturan 10 LN 166/59 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas 1959," katanya.

Dalam rakaman video berdurasi dua minit 41 saat itu, kereta dipandu lelaki warga emas berkenaan dilihat menukar lorong ke kiri dan kanan selain melanggar pembahagi jalan.

Individu yang merakam video berkenaan yang sedang menunggang motosikal turut dilihat cuba mengarahkan lelaki warga emas itu untuk memberhentikan kenderaannya.

RAKAMAN video tular di Facebook menunjukkan lelaki warga emas itu memandu secara berbahaya di Lebuhraya Persekutuan menghala ke Klang, Petaling Jaya, yang dirakam seorang penunggang motosikal, semalam.
Berita Harian X