Ahad, 8 Julai 2018 | 9:09pm
MANGSA kemalangan membabitkan sebuah lori dan dua kereta di Kilometer 60.6 Jalan Raya Timur Barat Gerik-Jeli yang melibatkan empat maut termasuk seorang kanak-kanak. - Foto ihsan pembaca
KERETA yang terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori di Kilometer 60.6 Jalan Raya Timur Barat Gerik-Jeli yang melibatkan empat maut termasuk seorang kanak-kanak. - Foto ihsan PDRM
SEBUAH lori yang terlibat dalam kemalangan dengan dua kereta di Kilometer 60.6 Jalan Raya Timur Barat Gerik-Jeli yang melibatkan empat maut termasuk seorang kanak-kanak. - Foto ihsan pembaca
MANGSA kemalangan, Redzuan Abd Ghani, Mohd Nizam Suhaidin dan Noor Hafizah Ismail.

3 beranak, pemandu lori maut nahas di Gerik

GERIK: Tiga sekeluarga serta seorang pemandu lori maut dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan lori membawa muatan balak di Kilometer 60.6 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli, dekat sini petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, pemandu PROTON Saga, Mohd Nizam Suhaidin, 34 dan pasangannya, Noor Hafizah Ismail, 34 serta anak lelaki pasangan itu, Muhammad Afiq Mohd Nizam, 6, maut di lokasi kejadian.

Turut maut di lokasi kejadian, pemandu lori balak terbabit, Redzuan Abd Ghani, 59.

Seorang lagi lagi anak pasangan yang maut, Nur Hanania Maisara Mohd Nizam berusia dua tahun cedera dan dihantar ke Hospital Gerik untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Ismail Che Isa berkata, siasatan awal mendapati treler yang membawa muatan balak itu dalam perjalanan dari Jeli, Kelantan menghala ke Gerik manakala kereta dinaiki empat beranak yang berasal dari Machang, Kelantan, itu, dari arah bertentangan.

"Setiba di satu selekoh di lokasi kejadian, treler dipandu lelaki berusia 59 tahun dipercayai hilang kawalan sebelum berpusing dan terbabas ke laluan bertentangan.

"Berikutan itu, treler berkenaan merempuh kereta mangsa yang berada di laluan berkenaan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, ketika kejadian keadaan jalan agak berselekoh dan mempunyai laluan dua hala manakala keadaan cuaca pada ketika itu cerah.

Katanya, siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, jurucakap Bomba dan Penyelamat negeri, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.48 petang dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Gerik bergegas ke tempat kejadian.

Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi, pihaknya mendapati terdapat mangsa yang tersepit dalam kenderaan.

Katanya, setakat jam 8.45 malam ini, operasi pasukan itu di lokasi kejadian masih dijalankan.

Berita Harian X