Rabu, 4 Julai 2018 | 9:29pm
Cikgu R. Raymala, 48, (dua dari kiri) ketika hadir menjadi saksi bagi kes seorang pelajar M Vasanthapiriya, 14, yang mati selepas dia dituduh mencuri iPhone gurunya di Mahkamah Koroner Pulau Pinang, Georgetown. - Foto Mikail Ong

Tidak tuduh, marah, pukul Vasanthapiriya - Guru

GEORGETOWN: Guru kelas mendiang M Vasanthapiriya, pelajar yang meninggal dunia selepas menggantung diri pada Februari lalu, memberitahu Mahkamah Koroner di sini, semalam, beliau tidak pernah menuduh pelajarnya itu mencuri telefon bimbitnya.

R Raymala, 48, berkata beliau juga tidak pernah memarahi, memukul dan mendesak pelajarnya itu supaya mengaku mencuri telefon bimbit, sebaliknya berusaha untuk menyelesaikan perkara itu dengan baik.

"Saya tidak pernah marah atau pukul Vasanthapiriya. Saya hanya bertanyakan sama ada dia ada memasuki bilik guru pada hari kejadian, kerana rakaman kamera litar tertutup (CCTV) jelas menunjukkan wajahnya.

"Dia akhirnya mengaku masuk ke bilik guru selepas seorang guru lain menunjukkan rakaman CCTV kepadanya dan mendakwa rakannya dikenali sebagai Yogamalar yang mencuri telefon itu," katanya.

Raymala adalah saksi kelapan prosiding inkues menyiasat punca kematian pelajar tingkatan dua itu yang meninggal dunia selepas menggantung diri, dipercayai kerana malu akibat dituduh mencuri telefon pintar seorang guru.

Raymala, guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Methodist Nibong Tebal, berkata beliau bertemu dengan keluarga mendiang selepas tamat waktu sekolah, kerana ditawarkan oleh pelajar tingkatan dua berkenaan untuk ke rumah Yogamalar.

Bagaimanapun, katanya, Yogamalar dan keluarganya tiada di rumah dan menyebabkannya menghantar pulang Vasanthapiriya ke rumah.

"Ketika mengiringi Vasanthapiriya ke rumahnya, dia berbisik kepada saya supaya tidak memberitahu bapanya.

"Saya menolak permintaan itu dan menceritakan perkara sebenar tanpa menuduhnya mencuri, selain meminta ibu bapanya tidak memarahi Vasanthapiriya," katanya.

Terdahulu, saksi, Dr Amirul Adib Ahmad Zakhi, pegawai perubatan di Hospital Sungai Bakap, berkata ada kesan trauma lama di bahagian pergelangan tangan kiri berdekatan nadi mendiang.

"Ketika merawat pesakit di Wad Kecemasan, saya mengesan ada kesan trauma di bahagian leher dan kesan trauma lama di pergelangan tangan kiri.

"Kesan trauma di leher adalah akibat pergeseran objek tumpul manakala kesan di tangan adalah luka lama yang berkemungkinan oleh objek tajam," katanya.

Inkues yang didengar di hadapan Koroner Norsalha Hamzah akan bersambung Jumaat.

Inkues dibantu pegawai pengendali yang juga Pengarah Pendakwaan Negeri, Yusaini Amer Abdul Karim dan J G Kameni.

Vasanthapiriya meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi Hospital Seberang Jaya pada jam 3.35 pagi, 1 Februari lalu selepas tidak sedarkan diri akibat menggantung diri di rumahnya.

Mendiang dikatakan berbuat demikian selepas dituduh mencuri telefon pintar milik seorang guru wanita di sekolahnya.

98 dibaca
Berita Harian X