Isnin, 2 Julai 2018 | 1:01pm
KEADAAN kereta Honda Civic yang turut terbabit dalam kemalangan maut dengan sebuah motosikal di Kilometer 17.6, Lebuhraya Seremban - Port Dickson. Foto Mohd Khidir Zakaria

Penunggang motosikal melawan arus maut diseret kereta

PORT DICKSON: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditungganginya bertembung dengan sebuah kereta sebelum diseret kira-kira 600 meter di Kilometer 17.6, Lebuhraya Seremban-Port Dickson di sini, awal pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, S Puvaneswaran, 27, dipercayai menunggang melawan arus dari arah Port Dickson menghala ke Seremban sebelum bertembung sebuah kereta dipandu lelaki berusia 32 tahun.

Timbalan Ketua Polis Daerah Port Dickson, Deputi Superintendan Mohd Faisal Mohd Noor, berkata mangsa yang menunggang motosikal Yamaha Y15ZR maut di tempat kejadian dalam keadaan mengerikan akibat diseret kereta Honda Civic terbabit.

Katanya, pemandu Honda Civic berkenaan pula tersepit di tempat duduk pemandu menyebabkan kaki kanannya patah, selain cedera di muka dan kepala.

"Kita percaya, badan mangsa berkecai kerana dilanggar beberapa kenderaan lain yang tidak dapat dipastikan selepas tercampak di kanan jalan. Hasil siasatan mendapati mangsa menunggang melawan arus dan bertembung dengan Honda Civic itu.

"Mayat dibawa ke Hospital Port Dickson untuk bedah siasat hari ini. Manakala mangsa yang cedera di bawa ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban untuk rawatan lanjut," katanya kepada NSTP, hari ini.

Beliau berkata, polis masih menyiasat punca kemalangan dan berharap saksi tampil membantu siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X