Ahad, 1 Julai 2018 | 1:26pm

Bekas pegawai khas Najib bebas dengan jaminan

PUTRAJAYA: Mahkamah Majistret di sini, hari ini, membebaskan bekas pegawai khas kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang direman sebelum ini bagi membantu siasatan kes penyelewengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Majistret Muhammad Bukhori Md Ruslan membenarkan lelaki berusia 42 tahun dan bergelar Datuk itu dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjumlah RM20,000.

Sumber SPRM berkata, mahkamah turut mengarahkan lelaki itu menyerahkan pasport antarabangsanya kepada SPRM dan melaporkan diri di ibu pejabat SPRM di sini, setiap bulan sehingga siasatan kes itu selesai.

Lelaki itu sebelum ini direman tujuh hari bermula Isnin lalu bagi membantu siasatan kes 1MDB dan menjadi individu yang direman berkaitan siasatan skandal berkenaan.

Lelaki itu dikatakan memegang jawatan pengarah di sebuah syarikat dipercayai menerima wang transaksi daripada 1MDB.

Suspek dikatakan berkhidmat dengan Najib sejak 2009.

Pada 21 Mei lalu, Pasukan Khas Siasatan 1MDB ditubuhkan bagi membuat siasatan, pengesanan dan rampasan aset serta pendakwaan terhadap individu yang melakukan kesalahan jenayah dalam pengurusan syarikat berkenaan.

Jawatankuasa itu diketuai bersama bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail; bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed; Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull dan Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Abdul Hamid Bador.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata pihak berkuasa mempunyai 'kes yang hampir sempurna' terhadap Najib atas tuduhan penggelapan, penyelewengan dan rasuah dikaitkan dengan 1MDB.

Najib sebelum ini hadir dua kali di ibu pejabat SPRM iaitu pada 22 dan 24 Mei lalu bagi memberi keterangan berhubung siasatan kes SRC International Sdn Bhd, iaitu anak syarikat 1MDB, diikuti isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor pada 5 Jun lalu.

33 dibaca
MAHKAMAH Majistret Putrajaya hari ini membebaskan bekas pegawai khas kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang direman sebelum ini bagi membantu siasatan kes penyelewengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB). - Foto Mohd Fadli Hamzah
Berita Harian X