Sabtu, 30 Jun 2018 | 1:16pm
ANGGOTA Bomba membantu mengeluarkan mangsa tersepit di dalam lori kontena yang terlibat dalam kemalangan dengan lori membawa batu-bata di KM 35 Lebuhraya Utara-Selatan Arah Selatan berhampiran Kulai, pagi tadi. - Foto Ihsan Bomba Johor

Pemandu treler maut tersepit dalam kemalangan

KULAI: Seorang pemandu treler maut dalam nahas membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 38.5 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan, pagi tadi.

Dalam insiden kira-kira jam 6.40 pagi itu, Azlan Shamsuddin, 46, meninggal dunia di tempat kejadian akibat tersepit.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Dzulkhairi Mukhtar, berkata kemalangan itu membabitkan treler dengan sebuah lori dan motosikal.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu treler gagal mengawal kenderaannya sehingga merempuh bahagian belakang lori membawa muatan batu bata.

"Setiba di tempat kejadian, pemandu treler yang memandu sendirian di lorong kiri jalan arah selatan, dikatakan gagal mengawal kenderaannya lalu melanggar belakang sebuah lori sedang bergerak di lorong sama.

"Perlanggaran itu menyebabkan muatan batu bata dari lori itu jatuh ke atas jalan raya dan terkena penunggang motosikal yang berada di lorong sama," katanya.

Dzulkhairi berkata, pemandu lori berusia 54 tahun itu bagaimanapun tidak cedera, manakala penunggang motosikal berumur 29 tahun pula cedera ringan.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik, Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, di sini, untuk bedah siasat.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Berita Harian X