Isnin, 25 Jun 2018 | 4:40pm

Wanita rugi RM13,200 terpedaya 'Love Scam'

KULIM: Seorang wanita menjadi mangsa terbaru sindiket 'Love Scam' apabila kerugian RM13,200 selepas terpedaya dengan helah seorang lelaki yang dikenalinya melalui Facebook (FB) April lalu.

Menurut sumber, mangsa berusia 21 tahun yang bekerja sebagai pembantu kedai di Kulim pada mulanya mengenali seorang lelaki di FB sebelum mereka berhubung menggunakan aplikasi WhatsApp.

"Sejak itu hubungan mereka menjadi rapat sebelum suspek mendakwa ada menghantar hadiah dan wang tunai kepadanya berjumlah RM50,000.

"Bagaimanapun barangan itu berada di pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan perlu membuat pembayaran cukai untuk mendapatkannya," katanya di sini, hari ini.

Sumber berkata, mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa kemudian membuat lima kali pemindahan wang secara dalam talian berjumlah RM8,700 menggunakan akaun bank ibu saudaranya pada 7 Jun lalu ke akaun milik seorang lelaki yang diberi suspek.

"Malah mangsa turut memindahkan wang menggunakan akaun miliknya sebanyak RM3,000 ke akaun diberi suspek kerana ingin mendapatkan hadiah itu.

"Tidak cukup dengan itu dia yang masih tidak mengesyaki apa-apa turut membuat pemindahan sama sebanyak RM1,500 pada Khamis lalu menjadikan keseluruhan wang diberi RM13,200," katanya.

Sumber itu berkata, bagaimanapun selepas membuat pembayaran itu sehingga ke hari ini mangsa masih tidak memperoleh barangan itu.

"Malah dia juga gagal menghubungi suspek yang menyekatnya di FB dan WhatsApp menyebabkan mangsa berasa ditipu.

"Dia yang menyedari kesilapan itu selepas ditipu suspek kemudian tampil membuat laporan di Balai Polis Kulim Hi Tech, Khamis lalu, untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ahmad Nasir Jaafar, mengesahkan kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai dinasihatkan tidak muda terpedaya dengan sindiket yang berkenalan melalui laman sosial sebelum menawarkan hadiah kepada mereka.

"Suspek bijak memperdayakan mangsa sehingga menyebabkan kerugian apabila ditipu," katanya ketika dihubungi hari ini.

56 dibaca
Berita Harian X