Ahad, 24 Jun 2018 | 4:58pm
SEBUAH kereta mewah model BMW i8 berharga lebih RM1 juta terbabas mengalami kerosakan teruk dan pecah cermin hadapan di Kilometer 69 Jalan Gua Musang-Kuala Krai, dekat Kampung Sungai Lakit. - Foto Ramli Ibrahim

Terbabas elak haiwan melintas

GUA MUSANG: Sebuah kereta mewah model BMW i8 berharga lebih RM500,000 terbabas di Kilometer 69 Jalan Gua Musang-Kuala Krai, dekat Kampung Sungai Lakit, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam itu, pemandu berusia 30-an bersama seorang penumpang tidak mengalami kecederaan.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohd Taufik Maidin, berkata kereta milik individu bergelar Datuk Seri itu dalam perjalanan dari Kuala Krai ke Gua Musang.

Sebaik tiba di lokasi, katanya, pemandu dipercayai gagal mengawal kenderaan selepas dikatakna cuba mengelak seekor haiwan melintas lalu terbabas ke dalam longkang.

"Ketika kejadian, hujan renyai-renyai dan keadaan permukaan jalan agak licin.

"Kita menerima maklumat daripada pengguna jalan raya dan mengarahkan anggota ke lokasi bagi menjalankan siasatan," katanya.

Mohd Taufik berkata, pemandu kereta itu membuat laporan di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Gua Musang sejurus selepas kejadian.

Berita Harian X