Ahad, 24 Jun 2018 | 4:34pm
TIGA lelaki maut selepas kenderaan dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan tiga kenderaan lain di Jalan Karak-Temerloh berhampiran Batu 7, pukul 9.14 pagi tadi. - Foto ihsan bomba
ANTARA ahli keluarga mangsa dua beradik Khasrul Haizal Mohd Yusof, 20, dan Khasrul Ikhwan Mohd Yusof 18, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 149 Jalan Kuantan, di sini, menanti proses bedah siasat di perkarangan unit forensik Hospital Sultan Haji Ahmah Shah (HoSAS) Temerloh. - Foto Nazirul Roselan
MANGSA maut, Khasrul Haizal Mohd Yusof, 20. - Foto Nazirul Roselan
MANGSA maut, Khasrul Ikhwan Mohd Yusof, 18. - Foto Nazirul Roselan

Tiga maut nahas tiga kenderaan

TEMERLOH: Dua beradik antara tiga maut dalam nahas tiga kenderaan di Kilometer 149 Jalan Kuantan-Kuala Lumpur berhampiran Mentakab, dekat sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 9.30 pagi itu, mangsa yang maut adalah Khasrul Haizal Mohd Yusof, 20, dan adiknya, Khasrul Ikhwan, 18.

Turut maut pemandu kenderaan pacuan empat roda (4WD) Toyota Hilux, Chua Jyh Shyong, 37.

Ketua Polis daerah Temerloh, Asisten Komisioner Zundin Mahmod, berkata dua beradik itu menaiki Proton Exora bersama enam ahli keluarga.

Katanya, siasatan awal mendapati, sebuah treler membawa muatan kertas dari arah Kuala Lumpur ke Kuantan gagal dikawal sebelum memasuki laluan bertentangan.

"Treler berkenaan merempuh Proton Exora dan Toyota Hilux, menyebabkan ketiga-tiga mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian akibat tersepit di tempat duduk masing-masing.

"Pemandu treler tidak mengalami kecederaan dan sudah menyerah diri sejurus selepas kejadian," katanya.

Bapa dua beradik yang juga pemandu Proton Exora itu, Mohd Yusof Ghazali, 55, dilaporkan parah manakala empat lagi anaknya iaitu Khasrul Hafiz Haqimie, 25; Khasrul Hanif Hazirin, 23; Khasrul Izwan, 18; dan Khasrul Ikram, 13 cedera.

Isterinya, Norizan Md Diah, 51, dan penumpang Toyota Hilux, Chee Kok Yong, 39, tidak mengalami kecederaan.

Difahamkan, keluarga berkenaan dalam perjalanan untuk memancing di Empangan Klau, Raub sebelum pulang ke rumah mereka di ibu negara.

Jenazah dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga masing-masing untuk urusan pengebumian.

Jenazah mangsa dikebumikan di Kampung Batu 4, Paya Pulai, dekat sini selepas solat Asar.

23 dibaca
Berita Harian X