Ahad, 24 Jun 2018 | 11:45am
KEADAAN kereta mewah model BMW i8 yang terbabas di Kilometer 69 Jalan Gua Musang-Kuala Krai, dekat Kampung Sungai Lakit, Gua Musang, petang semalam. - Foto Ramli Ibrahim

Kereta mewah terbabas

GUA MUSANG: Sebuah kereta mewah model BMW i8 berharga lebih RM700,000 terbabas di Kilometer 69 Jalan Gua Musang-Kuala Krai, dekat Kampung Sungai Lakit, di sini, petang semalam.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira jam 7.30 petang itu, pemandu berusia 30-an bersama seorang penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohd Taufik Maidin berkata, kereta milik seorang bergelar Datuk Seri itu dalam perjalanan dari Kuala Krai menghala ke Gua Musang.

Beliau berkata, sebaik sampai di lokasi dipercayai kereta berkenaan hilang kawalan selepas cuba mengelak seekor binatang melintas lalu terbabas ke dalam longkang.

Katanya ketika kejadian, hujan renyai dan keadaan permukaan jalan agak licin menyebabkan kereta dipandu lelaki itu secara tiba-tiba hilang kawalan apabila binatang itu melintas.

"Kita menerima maklumat itu daripada pengguna jalan raya dan mengarahkan anggota ke lokasi bagi menjalankan siasatan," katanya.

Mohd Taufik berkata, pemandu kereta itu membuat laporan di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Gua Musang sejurus selepas kemalangan.

Katanya, kereta mewah itu masih berada di IPD untuk siasatan lanjut.

Berita Harian X