Sabtu, 23 Jun 2018 | 6:07pm
KEADAAN kereta seorang lelaki yang 'meletup' akibat tong gas memasak yang dibawanya mengalami kebocoran. - Foto Ihsan Bomba

Lelaki cedera, tong gas dalam kereta meletup

SUBANG JAYA: Gara-gara membawa tong gas petroleum cair (LPG) yang dipercayai bocor, seorang lelaki melecur apabila keretanya 'meletup' selepas dia menghidupkan pemetik api untuk merokok di Jalan Subang Mas, Taman Pinggiran USJ 1 di sini, Jumaat minggu lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.40 petang itu, mangsa yang berusia 48 tahun melecur pada kedua-dua belah tangan serta muka manakala keretanya jenis Toyota Vios rosak teruk.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, Timbalan Penguasa Bomba Syed Shahril Anuar Syed Sulaiman, berkata mangsa dipercayai tidak menyedari berlaku kebocoran pada tong gas memasak yang diletakkan di bahagian tempat duduk penumpang hadapan.


TONG gas memasak yang dibawa seorang lelaki mengalami kebocoran sehingga menyebabkan keretanya 'meletup' dalam kejadian pada Jumaat minggu lalu. - Foto Ihsan Bomba

"Apabila kereta itu sampai di satu persimpangan lampu isyarat, mangsa membuka cermin dan menghidupkan rokok dengan menggunakan pemetik api.

"Ruang dalam kereta ketika itu sudah dipenuhi dengan gas LPG yang bocor dan api daripada pemetik api mencetuskan letupan dalam kenderaannya, bagaimanapun tiada kebakaran berlaku dalam kenderaan mangsa," katanya ketika dihubungi NSTP, semalam.

Katanya, pihaknya yang menerima laporan pada jam 4.46 petang, bergegas ke tempat kejadian bersama lapan anggota.


ANGGOTA bomba menyiasat keadaan kereta yang dipercayai 'meletup' akibat kebocoran pada tong gas petroleum cair (LPG). - Foto Ihsan Bomba

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintendan Choo Lily ketika mengesahkan kejadian itu memaklumkan mangsa dihantar ke Hospital Shah Alam untuk rawatan akibat kecederaan yang dialaminya.

"Punca sebenar kejadian itu masih dalam siasatan.

"Mangsa dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya dalam satu kenyataan.

Berita Harian X