Sabtu, 23 Jun 2018 | 3:47pm
KETUA Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor menyampaikan sijil kepada konstabel pelatih pada Majlis Tamat Latihan, Program Latihan Asas Kepolisan (PLAK), Konstabel Lelaki Bilangan 3 Siri 3/2017, Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Bukit Sentosa di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sini, hari ini. - Foto Amrullah Abdul Karim

'Lambat laun kita dapat tangkap dia'

KUALA KUBU BHARU: Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor menegaskan waran tangkap ke atas Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos tetap berkuat kuasa dan tidak ada sebarang halangan bagi pihak berkuasa menahannya.

Katanya, polis akan menahan Jamal, termasuk sekiranya beliau hadir di mana-mana lokasi berlangsungnya pemilihan UMNO.

"Daripada dulu lagi kita telah keluarkan waran. Apa pun kita akan laksanakan waran tangkap itu. Di mana saja dia berada lambat laun kita akan dapat tangkap dia.

"Penahanan itu selaras dengan waran tangkap yang dikeluarkan terhadapnya atas kesalahan melarikan diri daripada tahanan sah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Tamat Latihan, Program Latihan Asas Kepolisan (PLAK), Konstabel Lelaki Bilangan 3 Siri 3/2017, Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Bukit Sentosa di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sini, hari ini.

Mazlan berkata, sehingga kini usaha mengesan Pengerusi Gerakan Baju Merah itu masih diteruskan walaupun Jamal berada di luar negara.

Ditanya berhubung beberapa kenyataan Jamal yang disebarkan menerusi rakaman video, Mazlan berkata, individu itu boleh bercakap apa saja mengenai diri atau kedudukannya sekarang tetapi tuntutan waran yang dikeluarkan terhadapnya tetap akan dilaksanakan.

"Dia boleh kata apa pun dan (menyatakan) sama ada berada di mana-mana, kita tetap akan kesan dia. Yang penting kita laksanakan waran yang dikeluarkan kepadanya," katanya.

Waran tangkap terhadap Jamal dikeluarkan pada 1 Jun lalu oleh Mahkamah Majistret Ampang, Selangor mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan atas kesalahan melarikan diri daripada tahanan sah.

Sebelum ini, Jamal dituduh di Hospital Ampang Puteri atas kesalahan mengikut Seksyen 290 Kanun Keseksaan, melakukan mudarat awam dengan memecahkan sejumlah botol arak menggunakan penukul besi sehingga mendatangkan bencana, bahaya dan kegusaran awam.

Terdahulu, Mazlan menyampaikan sijil kepada 199 pelatih PULAPOL Bukit Sentosa yang menamatkan latihan selama enam bulan.

Majlis itu turut dihadiri Timbalan Pengarah Latihan Pengurusan Bukit Aman, DCP Datuk T Narenasagaran dan Komandan PULAPOL Bukit Sentosa, Superintendan Osman Mamat.

Mazlan turut menyampaikan anugerah kepada tiga pelatih terbaik bagi kategori Anugerah Pelatih Terbaik Akademik, Muhammad Nabil Azri Mohd Mahadi; Anugerah Pelatih Terbaik Latihan Luar, Mohamad Shahrul Adli Dzulkifli dan Anugerah Pelatih Terbaik Keseluruhan, Muhammad Nazran Mohd Asri.

68 dibaca
Berita Harian X