Sabtu, 23 Jun 2018 | 9:29am

4 kereta dihempap pokok sekitar ibu negara

AMPANG: Ford Ranger antara empat kereta ditimpa pokok akibat angin kencang dan hujan lebat di sekitar ibu negara, petang semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ampang, Timbalan Penguasa Bomba Ariff Mohamed Kassim, berkata pokok yang menimpa di atas kenderaan pacuan empat roda itu di Taman Bukit Utama, Bukit Antarabangsa, di sini,tidak dapat dialihkan kerana saiznya terlalu besar.

Katanya, anggota bomba hanya boleh memotong ranting pokok yang kecil.

"Kita akan serahkan kes ini kepada Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) untuk tindakan lanjut.

"Tiga kereta lain terbabit dengan kejadian berkenaan ialah Suzuki Swift, Proton Saga dan Proton Persona.

"Suzuki Swift dan Proton Saga ditimpa pokok di kawasan parkir sebuah kondominium di Bukit Antarabangsa, di sini.

"Kita berjaya potong pokok itu dan mengalihkannya," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya selesai memotong dan membersihkan kawasan Jalan Bukit Jaya, di sini, selepas sebatang pokok menimpa Proton Persona.

"Kereta itu diletakkan di kawasan berhampiran dengan pokok di tepi jalan.

"Kita sudah potong dan bersihkan jalan itu, keadaan lalu lintas berkenaan sudah kembali lancar," katanya.

Bantuan anggota bomba yang dikerahkan ke lokasi kejadian membabitkan enam dari Balai Bomba Ampang, Balai Bomba Pandan (6), Balai Bomba Wangsa Maju (6) selain lima pegawai Tenaga Nasional Bhd (TNB).

Berita Harian X