Jumaat, 22 Jun 2018 | 3:01pm
ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan di Jalan Kota Bharu-Kuala Krai dekat Kampung Banggol Petai, Machang, pagi tadi. - Foto ihsan bomba

1 maut, 6 cedera nahas di Machang

MACHANG: Seorang maut, manakala enam parah dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Kota Bharu-Kuala Krai dekat Kampung Banggol Petai, di sini pagi tadi.

Nahas jam 1.20 pagi itu membabitkan kereta Perodua Axia dinaiki tiga beradik dan Suzuki Vitara yang dinaiki empat beranak.

Mangsa maut ialah penumpang hadapan Suzuki Vitara, Mohd Zaki Mustafa, 59, yang juga pegawai khidmat pelanggan di Pejabat Setiausaha Kelantan.

Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintendan Dzulkifli Ab Ghani, berkata semua mangsa cedera dihantar ke Hospital Machang, di sini untuk rawatan.

Katanya, mayat mangsa turut dihantar ke hospital sama untuk dibedah siasat.

"Kemalangan dipercayai berlaku apabila Suzuki Vitara dipandu anak lelaki mangsa (Mohd Zaki) berusia 17 tahun dari arah Tanah Merah, hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan.

"Akibatnya, kenderaan itu bertembung dengan Perodua Axia dipandu wanita berusia 30 tahun, menyebabkan mangsa tersepit dan maut, manakala pemandu serta penumpang dua-dua kenderaan parah.

"Ketika kejadian, empat beranak itu dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Bachok," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Machang, Nik Ahmad Afsham Nik Pa berkata, pihaknya bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan orang ramai.

Katanya, 10 anggota termasuk Pasukan Bomba Sukarela diketuai Pegawai Bomba Zulkepli Ngah ke tempat kejadian bagi menjalankan kerja menyelamat mangsa yang tersepit.

"Sebaik tiba, anggota mendapati terdapat tiga mangsa di dalam dua kenderaan berkenaan yang tersepit dan bertindak menyelamatkan mereka menggunakan alatan penyelamatan," katanya.

Berita Harian X