Khamis, 21 Jun 2018 | 3:24pm
Bapa sauadara, Azhar Salamat menujukan lokasi mangsa cedera selepas terkena serpihan mercun, di Felda Papan Timur, Kota Tinggi, Khamis lalu. - Foto Mohd Azren Jamaludin

Lelaki direman seminggu bantu kes budak maut akibat mercun

KOTA TINGGI: Mahkamah Majistret di sini, hari ini, membenarkan permohonan reman tujuh hari terhadap seorang lelaki berusia 35 tahun bagi membantu siasatan berhubung kematian kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun akibat terkena serpihan mercun di FELDA Papan Timur, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Ashmon Bajah, berkata perintah reman itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Khairul Azhar Mohamad selepas membenarkan permohonan polis untuk menjalankan siasatan terhadap suspek kes itu bermula semalam hingga 27 Jun ini.

"Ia bagi membolehkan polis melakukan siasatan mengikut Seksyen 304A Kanun keseksaan kerana menyebabkan kematian akibat kecuaian atau Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1958 dan Seksyen 33 Akta kanak kanak," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ashmon berkata, lelaki berkenaan dibawa ke mahkamah pada jam 9 pagi tadi, selepas ditahan pasukan siasatan khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi di FELDA Papan Timur, pada jam 1.30 tengah hari semalam.

Nuraqira Khaeefa Mohd Saad, menghembuskan nafas terakhir Isnin lalu selepas empat hari dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru, apabila kepalanya terkena serpihan bekas mercun yang meletup, terpelanting dan terlekat di kepalanya pada malam Aidilfitri lalu.

Mangsa koma selepas kepalanya terkena serpihan bekas mercun ketika bersama sepupu membersihkan halaman rumah datuknya di FELDA Papan Timur, Kota Tinggi, Johor, malam Khamis lalu.

Berita Harian X