Isnin, 18 Jun 2018 | 3:52pm
KEADAAN kenderaan yang mengakibatkan seorang anggota polis maut manakala isteri dan anak lelakinya cedera selepas terbabit kemalangan di Sungai Gadut. - Foto Khairul Najib Asarulah Khan.

Anggota polis maut kemalangan

REMBAU: Seorang anggota polis maut manakala isteri dan anak lelakinya cedera selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 15 Jalan Seremban-Tampin, dekat Sungai Gadut di sini, hari ini.

Dalam kemalangan jam 7.30 pagi itu, Sarjan Mejar Mohd Nor Abd Rashid, 59, yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rembau meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di dada.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Anuar Bakri Abdul Salam, berkata mangsa menaiki kereta Proton Saga FLX yang dipandu isteri, Siti Rahja Ujang, 56, bersama anak mereka, Muhammad Aiman, 18, dalam perjalanan dari Rembau ke Seremban.

"Sebuah Nissan Almera yang datang dari arah bertentangan dipercayai terbabas memasuki laluan mereka sebelum bertembung.

"Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Tampin untuk bedah siasat," katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

75 dibaca
Berita Harian X