Selasa, 12 Jun 2018 | 4:17pm
ZULKEFLY (kanan) memeriksa permit dan lesen seorang pemandu bas pada 'Op Bas' JSPT sempena musim Aidilfitri 2018 di Hentian Bas Terminal Bandar Tasik Selatan hari ini. - Foto BERNAMA

5,000 saman Ops Selamat

KUALA LUMPUR: Lebih 5,000 saman dikeluarkan kepada pengguna jalan raya di ibu negara oleh Polis Kontinjen Kuala Lumpur dalam tempoh empat hari sejak Ops Selamat 13/2018 dilancarkan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya, berkata saman yang dikeluarkan sejak kempen bermula 8 Jun lalu itu membabitkan pelbagai kesalahan lalulintas.

Beliau berkata, walaupun jumlah kenderaan di ibu negara dijangka lebih rendah pada musim perayaan, tumpuan akan terus diberikan kepada 10 kawasan panas dengan kekerapan kemalangan dan jumlah kenderaan yang tinggi.

Katanya, ia adalah untuk menjaga keselamatan pengguna jalan raya dan memastikan tiada insiden yang boleh menyebabkan kesesakan lalu lintas.

"Pada musim balik kampung ini, pemandu harus memastikan kenderaan mereka berada dalam keadaan baik dan menilai keupayaan diri untuk memandu jauh sebelum memulakan perjalanan.

"Selain itu, pemandu mesti belajar menjangkakan apa yang akan berlaku di dalam kenderaan, di belakang atau di luar kenderaan dari pelbagai sisi.

"Ini bagi memastikan pemandu dapat bersedia untuk berdepan dengan perkara yang berlaku secara tiba-tiba," katanya selepas Ops Selamat 13/18 peringkat Kuala Lumpur di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) hari ini,

Antara kesalahan utama dilakukan pengguna jalan raya adalah memandu melebihi had laju dibenarkan, menggunakan telefon bimbit, memotong barisan, memotong di garisan berkembar dan melanggar lampu merah.

Zulkefly berkata, secara purata terdapat kira-kira 150 hingga 200 kemalangan di bandar setiap hari.

"Bagaimanapun, jumlah trafik ketika musim perayaan turun, naik sebanyak 10 peratus. Sebagai contoh, dua hari pertama, jumlah meningkat sebelum kembali menurun dengan jumlah yang sama iaitu 10 peratus pada hari ketiga dan keempat," katanya ketika mengulas trend trafik di ibu kota pada musim perayaan.

Sementara itu, di TBS pagi tadi, Zulkefly berkata kira-kira 50 bas dan pemandu diperiksa dan sebanyak 37 saman dikeluarkan di lokasi.

"Dalam operasi selama empat jam bermula jam 8 pagi, kira-kira 50 pemandu bas diperiksa bagi mengesan sebarang penyalahgunaan dadah dan hasil ujian adalah negatif," katanya.

Zulkefly berkata operasi bersepadu dengan kerjasama Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPK KL, dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) adalah sebahagian daripada kempen keselamatan dan operasi sempena Aidilfitri dan cuti sekolah.

Selain itu, Zulkefly berkata pihak polis juga melakukan pemeriksaan dan sekatan jalan raya di terminal pengangkutan awam, kawasan membeli-belah dan laluan utama keluar dari pusat bandar.

Polis juga dijangka akan menjalankan lebih banyak pemeriksaan keselamatan jalan raya di terminal bas di ibu kota terutama Hentian Duta dan TBS sepanjang musim cuti perayaan.

155 dibaca
Berita Harian X