Isnin, 11 Jun 2018 | 12:06pm
MANGSA ditemui dalam keadaan berlumuran darah selepas ditetak menggunakan senjata tajam di terowong Lembah Subang Jalan PJU 1A/42, Kelana Jaya, Petaling Jaya.

Balas dendam jadi punca lelaki ditetak

PETALING JAYA: Balas dendam dipercayai menjadi punca seorang lelaki ditetak pada kedua-dua tangan dan kaki kiri di terowong Lembah Subang Jalan PJU 1A/42, Kelana Jaya, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din, berkata suspek dikatakan menyerang mangsa kerana mahu membalas dendam selepas lelaki itu membuat laporan polis mengenainya pada Mac lalu.

Katanya, ini berdasarkan siasatan awal ke atas seorang lelaki berusia 33 tahun yang ditahan di hadapan sebuah restoran di Jalan Gasing, di sini, kira-kira jam 7 malam tadi.

"Difahamkan, mangsa membuat laporan polis mengenai sekumpulan lelaki membuat bising dan minum arak di sebuah tempat letak kenderaan di Kota Damansara, di sini, sebelum mereka disuraikan pihak polis," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Katanya, pihaknya akan membuat permohonan reman terhadap suspek hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, mangsa berusia 28 tahun cedera pada kedua-dua tangan dan paha kiri dipercayai ditetak menggunakan senjata tajam.

Ketika ditemui, mangsa masih bernafas serta dalam keadaan lemah kerana kehilangan banyak darah dan dilaporkan trauma selain tidak dapat bercakap.

Mohd Zani berkata, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai diserang ketika berada di dalam terowong berkenaan kerana titisan darah mangsa terdapat di sepanjang laluan dan motosikalnya jenis Honda EX5 ditemui di hujung terowong arah berbeza.

Berita Harian X