Sabtu, 9 Jun 2018 | 1:42pm

Warga emas maut kereta bertembung

PEKAN: Seorang warga emas lelaki maut selepas PERODUA Myvi dipandunya bertembung dengan sebuah kereta lain di Kilometer 51, Jalan Pekan-Rompin dekat Kampung Serun, di sini, petang semalam.

Kejadian jam 4.15 petang menyebabkan Ismail Abas, 72, dari Kampung Kawah, Sungai Lembing, Kuantan meninggal dunia di tempat kejadian kerana parah di kepala.

Anaknya, Siti Zuraidah, 31, yang berada di tempat duduk penumpang hadapan cedera dan dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan.

Turut dirawat di hospital sama, pembantu makmal sekolah, Mansor Ibrahim, 57, yang memandu kereta NISSAN Sentra kerana patah paha dan cedera di tumit kaki.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Amran Sidek, berkata kemalangan dipercayai berlaku apabila PERODUA Myvi dipandu Ismail dari arah Rompin ke Pekan, hilang kawalan selepas melalui selekoh.

"Akibatnya, kereta berkenaan memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan NISSAN Sentra dipandu Mansor yang berasal dari Kampung Seri Jaya, Johor Bahru.

"Mangsa gagal mengelak disebabkan jarak yang terlalu dekat," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Amran berkata, Ismail yang bekerja sendiri meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat dihantar ke Hospital Pekan untuk dibedah siasat.

Beliau turut meminta saksi bebas yang melihat kejadian untuk tampil membantu siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu, rakaman kemalangan itu tular di media sosial sejak malam tadi, menunjukkan PERODUA Myvi yang hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung NISSAN Sentra.

24 dibaca
KERETA yang terbabit dalam nahas di Kilometer 51, Jalan Pekan-Rompin dekat Kampung Serun, di Pekan, petang semalam. - Foto ihsan pembaca
MANGSA gagal mengelak disebabkan jarak yang terlalu dekat. - Foto ihsan pembaca
Berita Harian X