Jumaat, 8 Jun 2018 | 10:07pm
MOHD Arbai Abu Ngamat (gambar kecil) maut selepas kereta yang dipandu merempuh kenderaan jenis pacuan empat roda di Jalan Sungai Tengar, Sungai Air Tawar, Sabak Bernam, hari ini. - Foto ihsan pembaca

Lelaki maut kereta rempuh pacuan empat roda

SABAK BERNAM: Seorang lelaki maut selepas kereta yang dipandu merempuh kenderaan jenis pacuan empat roda di Jalan Sungai Tengar, Sungai Air Tawar, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 1 tengah hari itu, mangsa, Mohd Arbai Abu Ngamat, 45, yang memandu PROTON Saga, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat mengalami kecederaan dalaman.

Pemandu kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux berusia 52 tahun itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Suprintendan Nor Azmi Isa berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua kenderaan datang dari arah bertentangan sebelum kejadian.

"Ketika kejadian, pemandu Toyota Hilux yang datang dari arah Jalan Parit Baru sedang menuju ke Jalan Sungai Tengar, manakala mangsa dari Jalan Sungai Tengar menuju ke Jalan Parit Baru.

"Mangsa yang memandu berseorangan dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke bahu kanan jalan. Kemudian, mangsa cuba masuk semula ke laluan asal sebelum kedua kenderaan bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda yang datang dari arah bertentangan," katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) untuk bedah siasat.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Berita Harian X