Isnin, 28 Mei 2018 | 10:28pm
KEDIAMAN Setiausaha Persekutuan Majikan- Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan di Jalan Desa 6/10, Bandar Country Homes, Rawang, musnah dalam kebakaran petang tadi. - Foto Nstp

Banglo Setiausaha Eksekutif MEF musnah dalam kebakaran

RAWANG: Kediaman Setiausaha Eksekutif Persekutuan Majikan- Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan di Bandar Country Homes, di sini, musnah dalam kebakaran, petang tadi.

Difahamakan, dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, banglo tiga tingkat berkeluasan 888 meter persegi musnah 80 peratus.

Ketua Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Mohd Nurizawan Basri berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 7.20 malam, beberapa minit sebelum waktu berbuka puasa.

"Seramai tiga pegawai dan 20 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rawang, BBP Batu Arang dan BPP Sungai Buloh bergegas ke lokasi dengan empat jentera.

"Kebakaran membabitkan sebuah rumah kelas A tiga tingkat berkeluasan 888 meter persegi dan musnah 80 peratus," katanya ketika dihubungi NSTP.

Beliau berkata, api berjaya dikawal beberapa minit kemudian dan tiada mangsa dilaporkan mengalami kecederaan atau maut dalam kejadian ini.

"Pasukan forensik bomba baru tiba sejurus api dipadam sepenuhnya untuk menjalankan siasatan berhubung punca kebakaran.

"Ketika ini puncanya masih dalam siasatan termasuk jumlah kerugian," katanya.

38 dibaca
Berita Harian X