Isnin, 28 Mei 2018 | 5:24pm
KEADAAN Isuzu Dmax yang bertembung dengan motosikal yang ditunggang Mohammad Iskandar Zulkarnain Apandi, 17, di Kilometer 12 Jalan Nanga, Limbang.

Hasrat jumpa ibu tidak kesampaian

LIMBANG: Hasrat seorang remaja lelaki untuk balik ke rumah bertemu ibunya di Kampung Tabahan, Jalan Pandaruan, di sini, tidak kesampaian apabila dia maut selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, motosikal yang ditunggang mangsa, Mohammad Iskandar Zulkarnain Apandi, 17, bertembung dengan sebuah pacuan empat roda di Kilometer 12, Jalan Nanga LBBR.

Ketika kejadian itu, mangsa dikatakan dalam perjalanan balik dari Tedungan menuju ke Limbang, sebelum bertembung dengan sebuah pacuan empat roda yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 60 tahun.

Sumber berkata, difahamkan sebelum menunggang motosikal, mangsa sempat menghubungi ibunya dan memberitahu dia dalam perjalanan balik ke rumah.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu, mangsa yang mengalami kecederaan teruk pada bahagian kepala dan kaki, telah disahkan meninggal di lokasi kejadian.

"Pemeriksaan awal mendapati motosikal yang ditunggang mangsa hilang kawalan lalu terbabas masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan pacuan empat roda yang datang dari arah bertentangan," katanya, hari ini.

Pemandu pacuan empat roda itu yang tidak mengalami sebatang kecederaan kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Limbang bagi siasatan lanjut.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Limbang untuk dibedah siasat dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Berita Harian X