Sabtu, 26 Mei 2018 | 10:22pm
MANGSA, Khong Ah Ha, meninggal dunia di lokasi kejadian berikutan parah pada kepala dan badan. - Foto ihsan PDRM

Polis buru pemandu langgar lari

KEPALA BATAS: Polis sedang mengesan pemandu kenderaan pacuan empat roda (4WD) yang dipercayai melarikan diri selepas melanggar mati seorang lelaki warga emas dalam kemalangan di Jalan Tun Hamdan Sheikh Tahir, di sini, petang tadi.

Dalam nahas jam 5.05 petang itu, mangsa, Khong Ah Ha, 75, meninggal dunia di lokasi kejadian berikutan parah pada kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila pemandu 4WD itu dipercayai hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan sebelum melanggar motosikal yang ditunggangi mangsa.

Katanya, ketika itu, pemandu terbabit dalam perjalanan dari sebuah stesen minyak Kepala Batas menuju ke Bertam, manakala mangsa pula menunggang motosikal bersendirian dari Bertam menghala ke pekan Kepala Batas.

"Pemandu didapati tidak memberhentikan kenderaannya selepas kemalangan berlaku.

"Bagaimanapun, polis sudah memperoleh nombor pendaftaran kenderaan 4WD dan usaha mengesan pemandu berkenaan sedang giat dijalankan," katanya.

Noorzainy berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Kepala Batas untuk proses bedah siasat.

"Orang awam yang menyaksikan kemalangan diminta tampil di balai polis berhampiran atau menghubungi polis bagi membantu siasatan," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X