Sabtu, 26 Mei 2018 | 4:43pm
ANGGOTA Bomba dan Penyelamat mencari mangsa yang masih hilang dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) di Lubuk Sepali Nanga Ensiring, Julau. - Foto ihsan Bomba

Korban kedua Lubuk Sepali ditemui

JULAU: Mayat seorang kanak-kanak lelaki, yang juga mangsa kedua tragedi perahu karam di Lubuk Sepali, Sungai Entabai, di sini petang kelmarin ditemui kira-kira jam 9 pagi tadi oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR).

Ketua Polis Daerah Julau, Deputi Superintendan Bidol Noyeng, berkata mayat Kelvin Sama Markus, 6, ditemui terapung tidak jauh dari lokasi perahu panjang itu karam berhampiran Sungai Pecur, di sini.

Berikutan itu, usaha kini dipergiatkan mengesan seorang lagi mangsa, Ebiline Linty Kaya, 23, yang dilaporkan masih hilang selepas dihanyutkan arus deras sungai sejurus perahu dinaiki karam.

"Mayat kanak-kanak itu dihantar ke Hospital Sarikei untuk bedah siasat. Ini menjadikan keseluruhannya dua mayat mangsa berjaya ditemui sehingga kini, termasuk mangsa pertama iaitu seorang wanita dikenali sebagai Lenny Ingang, 46, yang ditemui kira-kira jam 12.30 tengah hari semalam," katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.00 petang kelmarin, tiga mangsa berkenaan bersama dua lagi anggota keluarga mereka dalam perjalanan pulang ke rumah panjang mereka di Nanga Ensiring selepas menziarahi sanak saudara mereka di Nanga Entabai.

Bagaimanapun, tidak sampai 50 meter untuk tiba di jeti rumah panjang mereka, perahu panjang dinaiki tiba-tiba dimasuki air sebelum karam, dengan tiga mangsa berkenaan dihanyutkan arus deras, manakala dua lagi anggota keluarga mereka sempat berenang ke tebing sungai sebelum diselamatkan penduduk kampung.

Lebih menyayat hati apabila kejadian itu berlaku dalam tempoh kurang seminggu menjelang sambutan Hari Gawai pada 1 dan 2 Jun ini, dengan kebanyakan penduduk rumah panjang mereka sedang membuat persiapan menyambut perayaan berkenaan apabila insiden berlaku.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor, Nicholas Belulin, berkata operasi SAR kini bertumpu di sepanjang sungai berkenaan, dengan kaedah pencarian di atas permukaan air.

"Kita berpandukan kepada keadaan arus dalam meneruskan pencarian mangsa terakhir ini. Kita berterima kasih kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan penduduk setempat yang turut memberi bantuan terhadap operasi ini," katanya.

Berita Harian X