Jumaat, 25 Mei 2018 | 3:13pm

Lelaki 'panjang tangan' ditahan

MIRI: Dalam tempoh kurang 10 minit, seorang lelaki 'panjang tangan' melarikan beg sandang dari dalam sebuah lori di Taman Tunku, di sini, petang kelmarin.

Bagaimanapun, suspek berusia 23 tahun itu ditahan polis kira-kira jam 4 petang pada hari sama, tidak jauh dari lokasi kejadian.

Menurut sumber, hasil pemeriksaan lanjut berjaya menemui semula beg sandang dilarikan suspek, dipercayai milik pemandu lori berkenaan.

"Namun, hanya dokumen pengenalan diri mangsa ditemui, manakala kesemua wang tunai sudah dibelanjakan suspek," katanya.

Katanya, kejadian berlaku ketika mangsa lelaki berusia 44 tahun memberhentikan lori dipandunya di tepi jalan tanpa mengunci pintu lori.

"Mangsa kemudian keluar untuk membantu menolak kereta rakannya yang mengalami kerosakan berhampiran lokasi lori diletakkan.

"Bagaimanapun, apabila mangsa kembali semula ke lorinya, beg sandangnya didapati lesap," katanya.

Mangsa kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Pusat Miri.

Sementara itu, jurucakap polis mengesahkan menerima laporan kejadian.

101 dibaca
Berita Harian X