Rabu, 23 Mei 2018 | 2:51pm
KETUA Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pahang, Superintendan Lam Thiam Huat (tengah) bersama anggotanya menunjukkan dadah jenis heroin seberat 2.27 kilogram yang dirampas. - Foto Muhammad Asyraf Sawal

Dua ditahan bersama dadah bernilai RM68,560

KUANTAN : Bertindak atas maklumat awam dan risikan, sepasukan pegawai serta anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pahang berjaya memberkas dua suspek dipercayai pengedar dadah di kawasan letak kereta Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Genting Sempah, dekat sini, malam Ahad lalu.

Suspek berusia 24 dan 40 tahun berasal dari Selangor itu ditahan jam 10 malam, selepas disyaki berada dalam keadaan mencurigakan dalam kereta jenis Honda City di kawasan itu.

Ketua JSJN negeri, Superintendan Lam Thian Huat berkata, pegawai dan anggota polis kemudiannya mengepung kawasan letak kereta itu sebelum menahan suspek.

"Berlaku pergelutan antara suspek dan anggota polis... sebaik pegawai dan anggota kita memperkenalkan diri, seorang daripadanya cuba meloloskan diri, namun berjaya diberkas.

"Kita menjalankan serbuan sebaik seorang daripada suspek membuka ruang belakang (bonet) kereta Honda City dan mengeluarkan satu beg kain yang dipercayai mengandungi dadah," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, hari ini.

Thian Huat berkata, pemeriksaan awal mendapati beg kain yang dirampas daripada suspek mengandungi dadah jenis heroin seberat 2.27 kilogram.

Katanya, pemeriksaan lanjut ke atas kedua suspek pula membawa kepada penemuan dadah jenis syabu seberat 2.90 gram.

"Nilai rampasan dadah jenis heroin dianggarkan RM68,125, manakala bagi dadah jenis syabu pula, kita anggarkan bernilai RM435. Suspek juga mengaku memperoleh bekalan itu dari ibu negara dan untuk diedarkan di sekitar Bentong, Temerloh serta kawasan FELDA berdekatan.

"Ujian air kencing yang dijalankan terhadap kedua suspek mendapati kedua-duanya negatif dadah manakala kereta digunakan suspek turut disita untuk siasatan lanjut," katanya.

Beliau berkata, semakan dilakukan mendapati suspek berusia 40 tahun memiliki tiga rekod jenayah lampau membabitkan kesalahan dadah dan suspek berusia 24 tahun pula tidak ada rekod lampau.

Katanya, kedua suspek kini ditahan reman selama seminggu bermula Isnin lalu sehingga 28 Mei ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 12(2) akta sama.

39 dibaca
Berita Harian X