Selasa, 22 Mei 2018 | 2:59pm

6 kenderaan berat kemalangan di lebuh raya

KUALA KUBU BHARU: Rempuhan sebuah treler tanpa muatan dari belakang ke atas lori tiga tan menyebabkan kemalangan dan pelanggaran membabitkan lima kenderaan berat, serta sebuah kereta di laluan dua hala Kilometer 405.6 Lebuh Raya Utara Selatan dekat Lembah Beringin di sini tengah malam, semalam.

Kemalangan yang berlaku jam 12.25 malam itu menyebabkan dua mangsa mengalami kecederan parah di kepala dan kaki manakala tiga lagi cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Lim Bhak Pai berkata, siasatan awal mendapati punca kejadian daripada treler tanpa muatan yang melanggar belakang lori kontena yang membawa muatan barangan pasaraya dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur ke Ipoh.

"Pelanggaran itu menyebabkan lori kontena terbabit terbabas dan terbalik di dalam gaung sebelah kiri jalan, manakala treler berpusing dan melintang atas jalan.

"Pada masa yang sama sebuah lagi treler yang membawa muatan bijih timah dan bas ekspres dari arah belakang tidak sempat menggelak lalu melanggar treler yang melintang atas jalan raya dan menyebabkan treler muatan bijih timah itu berpusing dan melintang sehingga ke sebelah jalan bertentangan.

"Sebuah kereta PROTON Wira yang datang dari arah Selatan juga tidak sempat mengelak dan melanggar treler yang telah melintang ke jalan bertentangan," katanya.

Beliau berkata, pemandu lori tiga tan berusia 44 tahun yang cedera di bahagian kepala dan pemandu kereta PROTON Wira berusia 33 tahun patah kaki telah di bawa ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut.

Menurutnya, tiga lagi mangsa yang iaitu penumpang kereta PROTON Wira berusia 37 hingga 45 tahun cedera ringan turut dibawa ke hospital sama.

Beliau bagaimanapun belum dapat mengesahkan identiti pemandu treler tanpa muatan yang menjadi punca kemalangan tersebut.

Katanya, kes itu diklasifikasikan di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

154 dibaca
Berita Harian X