Sabtu, 19 Mei 2018 | 1:59pm
PELAJAR sekolah, Wan Natasya Azwin Wan Asri, 15, maut akibat digilis sebuah lori selepas motosikal yang ditunggangnya bergesel dengan lori terbabit dalam kejadian di Jalan Kampung Selamat. - Foto Ihsan PDRM

Pelajar maut digilis lori

TASEK GELUGOR: Seorang pelajar Tingkatan Tiga maut digilis lori dalam kemalangan di Jalan Kampung Selamat, di sini, malam tadi.

Nahas jam 10.15 malam itu menyebabkan Wan Natasya Azwin Wan Asri, 15, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata motosikal ditunggang mangsa bersama rakannya dipercayai bergesel dengan sebuah lori.

Kejadian menyebabkan mangsa gagal mengawal motosikal lalu terjatuh sebelum digilis lori dipandu seorang lelaki berusia 64 tahun.

"Mangsa maut di tempat kejadian manakala rakannya luka di mulut dan tangan.

"Pemandu lori itu dikatakan tidak menyedari kejadian sebelum dimaklumkan mengenainya oleh orang awam yang ke rumahnya," katanya di sini, hari ini.

Noorzainy berkata, pemandu terbabit hadir ke balai polis untuk membuat laporan berkaitan kemalangan berkenaan.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kepala Batas (HKB) bagi bedah siasat manakala rakannya menerima rawatan di hospital sama.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

28 dibaca
Berita Harian X