Khamis, 17 Mei 2018 | 2:27pm

Gagal daftar Taska, pemilik didenda RM8,000

KUALA LUMPUR: Seorang pemilik Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) didenda RM8,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah menjalankan aktiviti tidak didaftarkan, tahun lalu.

Majistret Wong Chai Sia menjatuhkan hukuman itu terhadap Yow Shu Huei, 51, atau penjara enam bulan jika gagal membayar denda dikenakan.

Shu Huei didakwa menjalankan aktiviti Taska yang tidak berdaftar dikenali sebagai Taska Cerdik Kreatif di kawasan G-17-A PV13, Platinum Lake Condo, di Jalan Danau Saujana, Taman Danau Kota, Setapak di sini pada jam 10 pagi, 5 Jun 2017.

Berdasarkan pertuduhan, Shu Huei didakwa melakukan perbuatan itu mengikut Seksyen 6(1) Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 & Pindaan 2007 dan sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya.

Shu Huei yang tidak diwakili peguam merayu dikenakan hukuman minimum atas alasan berdepan masalah dan kekangan mendapatkan kelulusan pihak berkuasa.

Sementara itu Pegawai Pendakwa dari Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM), Eny Edayu Mat Ali memohon hukuman setimpal terhadap wanita itu.

"Hasil siasatan mendapati ada pengasuh tidak mengikuti kursus diwajibkan JKM. Keadaan keselamatan kanak-kanak itu tidak terjamin dan kejadian tidak diingini boleh berlaku.

"Taska ini mengenakan bayaran antara RM780 satu semester dan RM1,500 bagi dua semester. Selama lebih empat tahun beroperasi, pihak pendakwaan percaya tertuduh menjana keuntungan ribuan ringgit hasil operasi secara haram," katanya.

Berita Harian X