Isnin, 14 Mei 2018 | 2:27pm
ANGGOTA Bomba dan Penyelamat bersama PPDA menjalankan operasi SAR sebuah kenderaan pacuan empat roda yang disyaki terjatuh ke Sungai Samarahan dari feri di Pangkalan Feri Muara Tuang, Kota Samarahan. - Foto Ihsan Bomba

Warga emas hilang bersama kereta meluncur dari feri

SAMARAHAN: Nasib seorang lelaki warga emas masih belum diketahui selepas pacuan empat roda dipandunya tergelincir lalu jatuh dari feri ke Sungai Batang Samarahan di jeti Muara Tuang di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.15 pagi itu, mangsa Bernabas Lias Jalal, 77, yang memandu Toyota Hilux mahu menyeberangi sungai berkenaan menggunakan perkhidmatan feri.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam jam 7.28 pagi mengenai kejadian berkenaan sebelum sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Samarahan dikejarkan ke lokasi.

Katanya, berdasarkan maklumat awal, Toyota Hilux yang dipandu mangsa dikatakan tiba-tiba bergerak ke hadapan ketika feri berada di tengah sungai berkenaan.

"Toyota Hilux berkenaan terjunam ke dalam sungai menyebabkan orang awam memaklumkan kepada pemandu feri untuk segera berhenti.

"Pasukan bomba kemudiannya mendapatkan bantuan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) BBP Batu Lintang untuk melakukan selaman bagi mengesan mangsa yang dipercayai masih terperangkap di dalam kenderaan itu," katanya ketika dihubungi.

Jurucakap itu berkata, setakat ini operasi masih dijalankan di kawasan berhampiran jeti berkenaan, namun tiada sebarang petanda positif ditemui.

Katanya, operasi kini memberi tumpuan untuk mengesan pacuan empat roda dipandu mangsa bagi membolehkan kenderaan itu ditarik ke tebing kerana mangsa dipercayai masih terperangkap di dalamnya.

Penduduk setempat di kawasan sekitar Samarahan dan Asajaya masih menggunakan perkhidmatan feri untuk menyeberangi Sungai Batang Samarahan dalam aktiviti seharian.

73 dibaca
Berita Harian X