Ahad, 13 Mei 2018 | 4:52pm
KEADAAN kenderaan yang remuk di dalam kemalangan jalan raya membabitkan sembilan kenderaan di Jalan Pintasan Muar, Kampung Temiang, Muar. - NSTP/IHSAN BOMBA DAN PENYELAMAT

Nahas 10 kenderaan ragut satu nyawa

MUAR: Seorang maut manakala seorang lagi parah selepas terbabit dalam kemalangan 10 kenderaan di persimpangan lampu isyarat Jalan Pintasan Muar, Jalan Salleh berhampiran Kampung Temiang di sini, pagi tadi.

Kejadian kira-kira jam 10.15 pagi itu membabitkan sebuah bas, enam kereta, dua lori dan sebuah van.

Pemandu van, How Seow San, 53, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini, manakala pemandu lori, Mohd Shahidan Hamir Han, 29, dirawat di hospital sama akibat kecederaan parah di kedua-dua kakinya.

Pemandu bas terbabit dipercayai tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian terbabit.

Difahamkan, 11 mangsa yang menaiki kenderaan lain hanya mengalami kecederaan ringan.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip, berkata pemandu bas dikatakan gagal memberhentikan kenderaan ketika lampu isyarat merah di lokasi kejadian, sekali gus menjadi punca kemalangan/

"Siasatan awal mendapati sebuah bas yang tidak membawa penumpang dari arah bandar Muar menuju ke Bukit Pasir tidak berhenti ketika lampu isyarat merah, lalu merempuh sebuah van yang bergerak dari arah Melaka menuju ke Bakri.

"Akibatnya, bas terbabit gagal dikawal lalu terbabas ke arah bertentangan sebelum merempuh lapan kenderaan yang menunggu di lampu isyarat hijau di persimpangan berkenaan," katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Zaharudin berkata, siasatan awal mendapati lokasi kemalangan adalah jalan persimpangan lampu isyarat dan ketika kejadian lampu isyarat berkenaan berfungsi dengan baik manakala keadaan trafik pada masa kejadian tidak sibuk.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1)(A) Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987 dan meminta saksi kejadian tampil membantu dengan membuat laporan di mana-mana balai polis berhampiran.

159 dibaca
Berita Harian X