Ahad, 13 Mei 2018 | 12:41pm
JENAZAH Muhammad Luqman Syafaiq Md Zainuddin,15 yang terbaring selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer (KM) 61, Jalan Persekutuan Teluk Intan - Klang. - Foto Ihsan Pembaca

Remaja maut kemalangan motosikal

SUNGAI BESAR: Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun maut apabila motosikal ditunggangnya terbabit dalam kemalangan di Kilometer 61 Jalan Persekutuan Teluk Intan-Klang, di sini, malam tadi.

Dalam nahas jam 8.30 malam, Muhammad Luqman Syafaiq Md Zainuddin meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan teruk di kepala.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Nor Azmi Isa, berkata ketika kejadian, mangsa dikatakan bersama seorang rakannya berusia 18 tahun yang menunggang motosikal berasingan, menuju ke Sungai Besar dari arah Pasir Panjang.

"Motosikal Modenas Kriss yang ditunggang mangsa dikatakan berada di hadapan kenderaan rakannya itu.

"Setiba di lokasi kejadian, rakannya dikatakan merempuh bahagian sisi kanan motosikal mangsa yang kemudian hilang kawalan lalu terjatuh.

"Ketika itu, sebuah Proton Wira dipandu seorang lelaki berusia 63 tahun dari arah belakang dipercayai tidak sempat menekan brek lalu merempuh mangsa," katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ), Sabak Bernam, untuk bedah siasat, manakala rakannya yang cedera di bahagian tangan dirawat sebagai pesakit luar.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

37 dibaca
Berita Harian X