Sabtu, 12 Mei 2018 | 5:28pm
TIMBALAN Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Suffian Sulaiman. - Foto Mohd Syafiq Ridzuan Ambak

Lelaki parah dibelasah, diikat dengan dawai

KUALA TERENGGANU: Seorang lelaki cedera di kepala dan patah tulang rusuk kiri selepas dipukul menggunakan pasu bunga dan batu dalam kejadian di Jalan Losong, di sini, Rabu lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, mangsa berusia 51 tahun dan bekerja sendiri turut dipukul dan ditendang di muka dan kepala, selain turut diikat menggunakan dawai besi.

Kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa berada di luar rumahnya sebelum didatangi tiga lelaki, dipercayai berpunca rasa tidak puas hati.

Katanya, mangsa kemudian dihentam menggunakan pasu bunga dan batu di kepala selain turut dipukul dan ditendang di muka dan kepala.

"Penderitaan mangsa tidak berakhir di situ apabila suspek yang masih tidak berpuas hati turut mengikat kaki dan tangan mangsa menggunakan dawai besi sebelum beredar meninggalkan mangsa.

"Mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini, menaiki ambulan untuk rawatan lanjut dan pemeriksaan mengesahkan mangsa patah tulang rusuk kiri dan cedera di kepala," kata sumber.

Sumber berkata, susulan kejadian itu, isteri mangsa berusia 43 tahun membuat laporan di Balai Polis Chabang Tiga, Khamis lalu untuk tindakan lanjut.

Katanya, siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada rasa tidak puas hati mengenai pembayaran pembaikan kereta antara mereka.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Suffian Sulaiman ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian.

Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera parah menggunakan senjata atau lain-lain benda berbahaya.

Berita Harian X