Khamis, 10 Mei 2018 | 4:00pm
OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) sudah memasuki hari keempat di Sungai Baram berhampiran Kampung Narum, Marudi. - Foto Ihsan Bomba
ANGGOTA Bomba dan Penyelamat mencari mangsa lemas, Syed Zainol Ariffin Wan Omar, 26, yang masih belum ditemui, walaupun operasi mencari dan menyelamat (SAR) sudah memasuki hari keempat di Sungai Baram berhampiran Kampung Narum, Marudi. - Foto Ihsan Bomba

Gerakan SAR mangsa lemas masih diteruskan

MARUDI: Masih belum tiada sebarang petunjuk mengenai pelajar GiatMara yang dikhuatiri lemas di Sungai Baram berhampiran Kampung Narum di sini, sejak Isnin lalu.

Mangsa, Syed Zainol Ariffin Wan Omar, 26, masih belum ditemui, walaupun operasi mencari dan menyelamat (SAR) sudah memasuki hari keempat.

Komander Operasi, Balai Bomba dan Penyelamat Marudi, Maureen Sim Ah Lian, berkata setakat ini, operasi masih dijalankan pihaknya bersama polis dan penduduk kampung.

"Setakat ini, tiada sebarang petunjuk mengenai mangsa, bagaimanapun semua pihak sedang bertungkus lumus bagi mengesan mangsa.

"Penduduk turut menggunakan pancing duri rotan dan jala bagi mengesan mangsa, dengan radius kawasan pencarian turut diperluaskan dari lokasi mangsa dilaporkan hilang," katanya kepada NSTP, hari ini.

Dalam kejadian jam 1.20 petang pada Isnin lalu, mangsa dipercayai lemas ketika berenang seorang diri di sungai berkenaan.

Difahamkan, mangsa tiba-tiba dibawa arus deras dan 'lenyap', dengan kejadian disedari penduduk kampung berhampiran yang kemudian menghubungi pihak berkuasa memohon bantuan.

12 dibaca
Berita Harian X