Rabu, 9 Mei 2018 | 11:34pm
ANGGOTA bomba membantu mengeluarkan kaki kiri seorang kanak-kanak lelaki yang tersepit di dalam lubang pada permainan gelongsor di Jalan Indah 3, Taman Universiti Indah, Serdang. - Foto ihsan Bomba

Sejam tahan sakit

SERDANG: Seorang kanak-kanak lelaki terpaksa menahan sakit hampir sejam selepas kakinya tersepit dalam lubang papan gelongsor di Jalan Indah 3, Taman Universiti Indah, di sini, hari ini.

Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai Jabatan Bomba Penyelamat Selangor, Alimaddia Bukri, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 6.51 petang.

"Seramai 11 anggota bersama tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serdang dikerahkan ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba di lokasi, kami mendapati kaki kiri kanak-kanak berusia 10 tahun itu tersepit di dalam lubang pada permainan gelongsor di taman berkenaan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Alimaddia berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira 15 minit untuk mengeluarkan kaki mangsa yang tersepit.

"Kami menggunakan mesin gergaji untuk memotong besi pada permainan terbabit dalam usaha mengeluarkan kaki mangsa yang tersepit.

"Mangsa cedera ringan di bahagian kaki," katanya.

Keterangan gambar:

ANGGOTA bomba membantu mengeluarkan kaki kiri seorang kanak-kanak lelaki yang tersepit di dalam lubang pada permainan gelongsor di Jalan Indah 3, Taman Universiti Indah, Serdang, hari ini.

66 dibaca
Berita Harian X