Rabu, 9 Mei 2018 | 7:05pm
MANGSA, Naie Lagar, 67, yang maut selepas dilanggar kenderaan pacuan empat roda (4WD) di kilometer 23 Jalan Mukah-Balingian. - Foto Manorza Saraev

Tergamam melihat isteri maut depan mata

MUKAH: Luluh hati seorang suami melihat isteri kesayangan melambung dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) sebelum meninggal dunia di tempat kejadian dalam kemalangan di Kilometer 23 Jalan Mukah - Balingian, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, pasangan itu sedang sibuk menukar tayar van mereka yang pancit sebelum dirempuh sebuah kenderaan 4WD.

Difahamkan, kenderaan 4WD itu, yang datang dari arah Balingian sedang memotong kenderaan lain dan cuba memasuki semula laluannya, namun terbabas lalu merempuh mangsa yang dikenali sebagai Naie Lagar, 67.

Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintendan, Jimmy Panyau ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan sedang disiasat mengikut Seksyen 41 (1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Suami mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan, namun dilaporkan masih mengalami trauma susulan insiden menimpa isterinya," katanya.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Mukah untuk bedah siasat.

Berita Harian X