Selasa, 8 Mei 2018 | 6:38pm
BUAYA yang diseludup dari Malaysia ke London sebelum dirampas pihak berkuasa lapangan terbang Lapangan Terbang Heathrow, London, Jumaat lalu.

Sindiket dikesan seludup buaya Sarawak ke London

KUALA LUMPUR: Sindiket yang cuba menyeludup 50 ekor buaya hidup ke United Kingdom, Khamis lalu, dikesan mendapatkan bekalan buaya itu dari Sarawak.

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan semua buaya itu dibawa melalui penerbangan dari Kuching, Sarawak, sebelum transit sementara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Menurutnya, buaya yang diisi dalam lima kotak itu kemudian diterbangkan ke Lapangan Terbang Heathrow, London.

"Semua buaya dianggarkan berusia sekitar setahun itu bagaimanapun berjaya dirampas pihak berkuasa di lapangan terbang berkenaan.

"Siasatan sudah dilakukan, semua buaya itu dipercayaiberasal dari Sarawak dan bukannya dari Semenanjung Malaysia," katanya ketika dihubungi wartawan, hari ini.

Kadir berkata, setakat ini belum ada permintaan khusus dari pihak berkuasa di United Kingdom untuk membantu mereka berhubung kes penyeludupan haiwan liar dilindungi itu.

Dalam kejadian Jumaat lalu, agensi media AFP melaporkan pihak berkuasa Lapangan Terbang Heathrow merampas 50 ekor buaya berasal dari Malaysia.

Semua buaya `muda' itu ditemui disembunyikan di dalam lima kotak yang sudah dibungkus.

Setiap kotak hanya mampu memuatkan sekitar empat ekor buaya namun sindiket menyumbat 10 ekor buaya di dalam setiap kotak berkenaan.

Siasatan mendapati semua buaya itu mahu dihantar ke sebuah ladang di Cambridgeshire, timur England, dipercayai untuk dibiakkan bagi mendapatkan daging.

Ketua Konvensyen Antarabangsa Mengenai Perdagangan Spesies Liar Flora dan Fauna Terancam (CITES) Grant Miller, berkata, buaya diseludup itu mula bertarung satu sama lain semasa dalam penerbangan berikutan ruang kotak yang terhad.

Akibatnya salah seekor buaya itu didapati mati.

"Kami akan merampas apa sahaja yang melanggar peraturan CITES. Amaran diberikan terhadap mana-mana pihak yang cuba menyeludup hidupan liar dengan kaedah sama," katanya.

Berita Harian X