Ahad, 6 Mei 2018 | 10:04pm
ANGGOTA polis menangkap seorang lelaki selepas cuba melarikan diri di Taman Klang Jaya. - Foto Muhammad Sulaiman

Cubaan lari macam filem aksi

KLANG: Pengguna jalan raya sekitar Klang, hari ini, digemparkan dengan kejadian seperti dalam filem aksi apabila seorang lelaki dikehendaki sejak 10 tahun lalu, cuba melarikan diri daripada polis.

Malah, lelaki berkenaan memandu sejauh dua kilometer dari Persiaran Batu Nilam di sini, sehingga ke Taman Klang Jaya sebelum kereta dipandunya bergesel dengan tiga kereta serta melanggar sebuah motosikal.

Bagaimanapun, usahanya melarikan diri gagal selepas lelaki berkenaan yang memandu kereta bersama-sama seorang wanita dan seorang kanak-kanak sebagai penumpang, berjaya ditahan pihak berkuasa, kira-kira jam 10.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, ketika menjalankan tugas rondaan, dua anggota unit peronda terserempak dengan kereta jenis Nissan Sentra dalam keadaan mencurigakan sebelum mereka membunyikan siren.

"Pemandunya memecut kereta bagi melarikan diri sebelum anggota mengejar suspek.

"Ketika melarikan diri, kereta suspek bergesel dengan tiga kereta lain serta melanggar sebuah motosikal orang awam.

"Suspek berusia 37 tahun kemudian berjaya ditahan di Jalan Serunai 1, Taman Klang Jaya, kira-kira dua kilometer dari Persiaran Batu Nilam.

"Hasil pemeriksaan, polis menemui sebilah parang panjang di bawah kerusi pemandu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Shamsul Amar berkata, semakan mendapati suspek dikehendaki sejak 10 tahun lalu. membabitkan kesalahan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan iaitu mencuri kenderaan dan Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan ketika merompak.

Beliau berkata, wanita dan kanak-kanak berkenaan dibebaskan manakala perintah reman terhadap suspek akan dipohon esok.

Katanya, polis masih meneruskan siasatan berhubung kes terbabit.

Kejadian berkenaan sempat dirakam jurugambar NSTP yang ketika itu sedang dalam perjalanan untuk membuat liputan pilihan raya.

Berita Harian X