Sabtu, 5 Mei 2018 | 10:37pm
ANGGOTA bomba membawa turun enam mangsa yang sesat di Bukit Broga, Semenyih, hari ini. - Foto NSTP

Panik tak jumpa jalan turun Bukit Broga

SEMENYIH: Panik selepas tidak menemui laluan untuk turun selepas mendaki Bukit Broga, di sini, enam individu bertindak menghubungi pihak bomba untuk mendapatkan bantuan, hari ini.

Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Alimaddia Bukri berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 3.04 petang.

"Seramai sembilan pegawai dan anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Semenyih dikerahkan ke lokasi kejadian.

"Kami mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mendaki bukit berkenaan sebelum menemui semua mangsa yang juga sekeluarga di tingkat satu bukit terbabit.

"Mangsa, Affies Zulkipli, 42, Issa Zulkipli, 33, Muhammad Khairi Amran, 26, Muhammad Izzat Zainal, 25, Muhammad Harris Hamdani, 24, dan Afique Hamani Affies, 12, ditemui dalam keadaan selamat serta tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Alimaddia berkata, semua mangsa yang menetap di Taman Kajang Utama, di sini, dikatakan mendaki bukit berkenaan kira-kira jam 2 petang.

"Bagaimanapun, mereka dikatakan tidak berjaya menemui laluan untuk turun menyebabkan seorang daripada mangsa menghubungi pihak bomba untuk mendapatkan bantuan.

"Semua mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.

182 dibaca
Berita Harian X