Rabu, 2 Mei 2018 | 3:52pm
PDRM logo

Abang jadikan adik mesin ATM

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

cnews@nstp.com.my

KUALA TERENGGANU: Seorang wanita bukan saja dianggap mesin juruwang automatik (ATM) malah turut diugut dipukul oleh abangnya jika tidak mahu memberi wang di rumahnya di Kampung Pengkalan Arang, di sini, kelmarin.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 6.30 petang ketika mangsa berusia 32 tahun berada di rumah apabila didatangi suspek berusia 38 tahun.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abd Rafar berkata, suspek dikatakan meminta sejumlah wang daripada mangsa dan mengugut akan mencederakan wanita itu jika tidak menunaikan permintaannya.

Beliau berkata, mangsa yang bimbang diapa-apakan, akur dengan permintaan suspek lalu menyerahkan sejumlah wang kepada abangnya sebelum suspek beredar meninggalkan rumah.

"Mangsa memaklumkan suspek sebelum itu datang ke tempat kerjanya di sebuah restoran di Kuala Nerus kira-kira jam 9 pagi, Sabtu lalu, dan mengamuk mahu meminjam motosikal.

"Bagaimanapun, mangsa tidak membenarkan suspek meminjam motosikalnya kerana bimbang suspek akan

berbuat sesuatu dengan motosikal itu berikutan abangnya penagih dadah," katanya.

Idris berkata, susulan laporan dibuat mangsa, suspek berjaya ditahan di sebuah rumah di Kampung Tebauk di sini, kira-kira jam 1.20 pagi, semalam.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

106 dibaca
Berita Harian X