Rabu, 2 Mei 2018 | 10:41am

Tak timbul selepas terjun sungai

Kinarut: Seorang lelaki dikhuatiri lemas ketika mandi di Sungai Kinarut di Jalan Pengalat - Lok Kawi di sini, awal pagi tadi.

Norharidwan Muhammad, 25, penduduk Kampung Sri Menanti di sini, dipercayai terjun ke dalam sungai berkenaan pada jam 3.40 pagi.

Difahamkan, sebelum kejadian beberapa orang awam yang memancing di kawasan itu menegurnya supaya berhati-hati ketika mandi di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, selepas terjun ke sungai, mangsa tidak timbul. Orang awam yang menyedari kejadian itu segera menghubungi bomba.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Papar, Janil Jaya, berkata sebaik menerima laporan pada jam 4 pagi, seramai 15 anggota termasuk Unit Skuba dikerah ke lokasi kejadian.

"Operasi mencari dan menyelamat mangsa dilakukan dengan membabitkan anggota Unit Skuba (Jabatan Bomba dan Penyelamat)," katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.

Berita Harian X