Selasa, 1 Mei 2018 | 9:41am

1 maut, 2 cedera ditetak rakan serumah

KINABATANGAN: Seorang lelaki maut, manakala dua cedera disyaki ditetak dengan parang oleh rakan sekerja mereka di sebuah rumah pekerja di Ladang Bukit Mas, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 11.30 malam, Buddin Beddu, 47, yang parah akibat empat tetakan di bahagian kepala, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Sungai Segama, di sini.

Mangsa wanita, Farhana Musa, 27, pula parah di bahagian kepala, manakala Ismail Santoro, 33, lebam di kepala dan kedua-duanya kini dirawat di Hospital Lahad Datu.

Difahamkan, semua mangsa tinggal serumah bersama suspek dan tiada hubungan kekeluargaan.

Menurut sumber, ketika kejadian, dua mangsa yang cedera dikatakan berada di dalam bilik tidur sebelum terjaga apabila pintu bilik mereka diketuk.

"Mereka kemudian membuka pintu dan suspek didakwa terus menyerang dengan melibas parang ke arah mangsa wanita. Rakannya menarik tangan mangsa, namun tetakan suspek terkena pada bahagian kepala wanita itu.

"Bagaimanapun, wanita itu dikatakan sempat keluar meminta bantuan, manakala rakannya bergelut dengan suspek sebelum berjaya melepaskan diri.

"Seorang lagi mangsa (Buddin) pula didapati sudah terbaring di ruang tamu dengan berlumuran darah dipercayai ditetak oleh suspek," katanya di sini, hari ini.

Tidak lama kemudian, katanya, pegawai keselamatan di ladang berkenaan tiba dan menenangkan keadaan sebelum suspek berusia 35 tahun ditahan serta diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut, semalam.

"Suspek dan ketiga-tiga mangsa dikatakan mempunyai hubungan baik. Dipercayai pergaduhan berlaku kerana suspek disyaki mengalami gangguan mental," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintendan A Sahak Rahmat, ketika dihubungi berkata pihaknya sedang menyiasat kejadian itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Berita Harian X