Isnin, 30 April 2018 | 3:50pm
PASUKAN SAR mencari dua orang mangsa yang sesat selepas gagal keluar daripada hutan ketika menyertai ekspedisi (jungle tracking) bersama 18 orang rakan mereka yang lain di Jalan Ulu Bayong di Sarikei. - Foto Khalid Latip

2 hilang ketika sertai program 'jelajah hutan'

SARIKEI: Dua pelajar lelaki dikhuatiri sesat selepas dipercayai gagal mencari jalan keluar ketika menyertai ekspedisi `jelajah hutan' bersama 18 rakan mereka di Jalan Ulu Bayong, di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Sarikei, Pemangku Superintendan Awang Alfian Awang Bujang, berkata kedua-dua mereka dikenal pasti sebagai Azizan Amir Mohd Nizam, 21, dan Lister Emperang Matu, 25.

Katanya, laporan mengenai kehilangan mereka dibuat oleh seorang bapa mangsa di Balai Polis Jakar, kira-kira jam 8 malam kelmarin.

"Mereka yang hilang dipercayai pelajar sebuah pusat pengajian tinggi di Sibu. Kita dimaklumkan 20 individu masuk ke dalam hutan itu, namun hanya 18 daripada mereka berjaya keluar, " katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Berikutan itu, rakan mangsa bergegas memaklumkan kejadian kepada penduduk kampung sebelum pencarian dilakukan dengan bantuan Pasukan Bomba Sukarela.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Sarikei pula memaklumkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa bermula jam 7.30 pagi tadi, dengan lokasi pencarian bertumpu di kawasan beradius dua kilometer dari kawasan hutan berkenaan.

Katanya, operasi turut dibantu unit elit bomba, Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) dan Pasukan Multi Skill Team (MUST).

"Bagaimanapun, sehingga jam 3 petang tadi, kedua-dua mangsa belum ditemui dan gerakan SAR terus dipergiatkan," katanya.

16 dibaca
Berita Harian X