Jumaat, 27 April 2018 | 10:43pm

Calon SPM maut, motosikal rempuh tiang elektrik

MELAKA: Seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) maut selepas motosikal jenis Modenas Kriss ditunggang bersama rakannya terbabas, sebelum merempuh tiang elektrik di Jalan Durian Daun Dalam, di sini, tengah hari tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.40 tengah hari itu, Muhammad Raihan Razali, 17, maut, manakala rakannya yang membonceng, Muhammad Zaraf Mohd Zan, 13, cedera di bibir.

Difahamkan, Muhammad Raihan yang juga pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Durian Daun tidak sedarkan diri selepas kemalangan itu, sebelum disahkan meninggal dunia dua jam kemudian ketika menerima rawatan di Hospital Melaka.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintendan Mohd Sham Abdullah, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 3.05 petang.

"Siasatan awal mendapati, kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal dinaiki dua remaja itu hilang kawalan ketika melalui depan Sekolah Rendah Agama Datin Seri Zabedah, sebelum terbabas ke kiri jalan dan merempuh tiang elektrik.

"Penunggang motosikal meninggal dunia pada jam 2.30 petang ketika menerima rawatan di Hospital Melaka, manakala rakannya dirawat di Zon Hijau hospital sama," katanya ketika dihubungi, malam ini.

Mohd Sham berkata, punca sebenar kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

17 dibaca
Berita Harian X