Jumaat, 27 April 2018 | 3:28pm
MAYAT dua pekerja warga China yang terbabit dalam kejadian bot karam berhampiran Empangan Kobat di Indera Mahkota semalam berjaya ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM). - Foto Ihsan Bomba Pahang

Mayat 2 warga China ditemui

KUANTAN: Mayat dua warga China yang terbabit dalam kejadian bot karam berhampiran Empangan Kobat di Indera Mahkota, dekat sini petang semalam ditemui pagi tadi.

Mayat mangsa dikenali Chen Xi ditemui pada jam 9.33 pagi manakala rakannya, Ren Cheng ditemui 30 minit kemudiannya oleh pasukan Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) dianggotai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang serta polis.

Timbalan Pengarah JBPM Pahang, Mohd Sani Harul, kedua-dua mangsa yang masing-masing berusia 29 tahun ditemui kira-kira 20 meter daripada tempat bot berkenaan karam.

"Mangsa ditemui oleh anggota SAR yang melakukan pencarian sehingga jarak 300 meter daripada tempat mangsa hilang, mayat mangsa sudah dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk bedah siasat.

"Pusat operasi kini ditutup selepas pencarian mangsa dibuat sejak jam 4.35 petang semalam," katanya di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, mangsa menaiki bot berkenaan bersama dua lagi rakan mereka yang juga warga China dikenali Duan Feng, Zhang Jian Zheng dan pemandu bot warga tempatan, Mohd Yusdi Mohd Yusof.

Difahamkan ketika kejadian kesemua mangsa sedang melakukan lawatan kerja ke kawasan empangan itu sebelum bot gentian kaca dinaiki mereka itu karam.

Feng, Jian Zheng serta Mohd Yusdi berjaya menyelamatkan diri dan menghubungi bomba untuk mendapatkan bantuan bagi mencari dua rakan mereka yang dikhuatiri lemas.

Berita Harian X