Rabu, 25 April 2018 | 3:22pm

Padah panas baran lelaki didenda RM2,000

PETALING JAYA: Sikap panas baran seorang lelaki yang secara tiba-tiba menumbuk pengawal keselamatan kerana memandangnya akhirnya mendapat balasan apabila dia didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Nor Ariffin Hisham menjatuhkan hukuman itu selepas Muhammad Qayyum Ridzuan, 30, mengaku bersalah sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa.

Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara dua bulan jika gagal membayar denda itu. Tertuduh tidak membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa mendatangkan kecederaan terhadap S Santhanam, 62, dengan menumbuknya di bahagian mata kiri.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di pondok pengawal keselamatan, Apartmen 3 Elemen, Bandar Putra Permai, Seri Kembangan dekat sini kira-kira jam 3 pagi, 20 April lalu.

Dakwaan kes dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Muhammad Qayyum yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan tempoh tahanan reman sudah menginsafkannya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Fazeedah Faik memohon hukuman berbentuk pengajaran dikenakan sebagai pengajaran ke atas tertuduh dan orang awam.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh yang baharu sahaja memarkir keretanya dijeling oleh pengadu adalah pengawal keselamatan di apartmen itu.

Dia yang berang dengan tindakan mangsa kemudian secara tiba-tiba memarahinya dan menumbuk mata kiri mangsa.

Berita Harian X