Isnin, 23 April 2018 | 1:51pm

Gagal jelas cukai tertunggak, 31 diisytihar muflis

PUTRAJAYA: Seramai 31 pembayar cukai terdiri 15 individu dan 16 syarikat diisytiharkan muflis oleh mahkamah kerana gagal menjelaskan cukai tertunggak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berjumlah RM8.18 juta.

"Daripada jumlah berkenaan, 15 individu mempunyai tunggakan dan kenaikan sebanyak RM3.32 juta manakala 16 syarikat itu mempunyai tunggakan berserta kenaikan berjumlah RM4.85 juta," kata agensi itu dalam satu kenyataan hari ini.

Berdasarkan senarai yang dilampirkan oleh LHDN, tahun taksiran cukai pendapatan bagi 15 individu itu antara 1990 hingga 2015.

Individu yang merekodkan jumlah tunggakan cukai pendapatan, kenaikan dan kos mahkamah paling tinggi ialah sebanyak RM882,661.95 membabitkan tahun taksiran 1995 hingga 2003.

Bagi pembayar cukai syarikat, maklumat yang dilampirkan LHDN membabitkan tahun taksiran antara 1984 hingga 2014.

Syarikat yang merekodkan jumlah tunggakan cukai pendapatan, kenaikan dan kos mahkamah paling tinggi ialah sebanyak RM2.08 juta membabitkan tahun taksiran 1999 hingga 2004.

Berita Harian X