Jumaat, 20 April 2018 | 5:28pm
ANGGOTA bomba menemui mayat mangsa yang lemas di dasar air terjun tangki air Jalan Sungai Tua-Hulu Yam. - Foto NSTP

Kegembiraan di air terjun berakhir dengan tragedi

KUALA KUBU BHARU: Kegembiraan dua rakan karib mandi di kawasan air terjun Jalan Sungai Tua - Hulu Yam, di sini berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka ditemui mati lemas, hari ini.

Kejadian berlaku jam 11.40 pagi ketika mangsa, Raja Muhammad Syafieq Raja Ahmad Azanae, 16, datang bersama-sama rakannya ke kawasan perkelahan itu sebelum dipercayai tergelincir dan dihanyutkan arus.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Lim Bhak Pai berkata, saksi memaklumkan mangsa tergelincir dan hilang di kawasan air terjun terbabit

"Dengan bantuan bomba, mayat mangsa berjaya ditemui di dasar kolam air terjun itu jam 1 petang. Mangsa yang berasal dari Rasa, di sini, datang ke air terjun itu bersama rakannnya untuk mandi," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat.

"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR)," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu, Kamil Hamadan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu jam 11.58 pagi sebelum bergegas ke lokasi bersama 12 anggota empat jentera.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, anggota bomba melakukan pencarian di dasar sungai. Kami mengambil masa hampir satu jam sebelum menemui mayat mangsa berhampiran lokasi terakhir dia dilihat.

"Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Berita Harian X