Khamis, 19 April 2018 | 12:22pm
ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 22, Jalan Lipis-Benta berhampiran kawasan rehat dan rawat (R&R) Benta, Lipis, awal pagi tadi. - Foto ihsan bomba

2 maut, 2 parah kereta dinaiki keluarga langgar treler

LIPIS: Dua maut dan dua parah apabila kereta yang dinaiki mereka sekeluarga terbabit kemalangan di Kilometer 22, Jalan Lipis-Benta berhampiran kawasan rehat dan rawat (R&R) Benta, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 1.30 pagi itu, pemandu kereta, Mohd Rosrien Fikri, 32, dan ibu mentuanya, Rahimah Yahaya, 64, maut di tempat kejadian selepas kereta PERODUA Myvi dinaiki mereka dari arah Kelantan ke Selangor bertembung dengan treler.

Isteri mangsa, Nur Amaliena Hussin, 25, yang duduk di bahagian penumpang depan dan anak perempuannya, Nur Adzkiya Sofea,1, duduk di bahagian penumpang belakang, parah dan dikejarkan ke Hospital Kuala Lipis untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azry Akmar Ayob, berkata siasatan awal mendapati kereta PERODUA Myvi dipandu Mohd Rosrien dikatakan memasuki laluan treler membawa muatan susu tin yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kelantan sebelum bertembung.

"Mohd Rosrien dan Rahimah yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan, meninggal dunia di tempat kejadian kerana parah di kepala, manakala isterinya yang juga jururawat serta anak perempuannya yang parah dalam kemalangan itu masih menerima rawatan lanjut," katanya

di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Azry Akmar berkata, pemandu treler, Amirrudin Lokman, 24, dan kelindannya, Mohamad Azfarizal Ayuhan, 22, tidak mengalami kecederaan.

Beliau berkata, siasatan di lokasi kejadian mendapati jalan raya berada dalam keadaan baik dan tidak hujan serta kawasan jalan mempunyai lampu.

"Kita percaya pemandu PERODUA Myvi mungkin memandu dalam keadaan mengantuk sebelum memasuki laluan bertentangan yang menyebabkan kemalangan.

"Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lipis untuk bedah siasat dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

311 dibaca
Berita Harian X